Bab 3
Ombak yang deras kini beransur
perlahan. Angin ganas kini mula menjadi tenang. Titisan hujan mula reda
mengakhiri ribut malam. Embun pagi mula terlihat, basah tanah masih belum
tersejat, kokokan ayam jantan baru saja terdengar namun sudah terlihat gerak
geri manusia yang keluar mencari rezeki di awal pagi.
Mentari baru sahaja naik sejengkal namun
penduduk Pulau Melati Utama sudah lama keluar mencari rezeki. Ada yang keluar
membawa cangkul. Ada yang pergi membawa bakul. Ada yang bangun membuka gerai,
ada yang tiba membuka gudang. Masing-masing dengan cara hidup sendiri mencari
rezeki sepanjang hari.