Bab 2
Pemuda itu tekun dalam pekerjaannya. Jarinya
tangkas bergerak menukar posisi manik pada sempua manakala pada tangan
kanannya pula menggerakkan pena, mencoret sesuatu pada suatu helaian kertas.
Kadang-kala mataya akan bergerak melihat pada lembaran peta yang digantung pada
dinding bilik tersebut.
Perbuatannya itu sudah beberapa
kali dilakukannya sambil diperhatikan
oleh seorang lelaki separuh usia. Seketika kemudian, tangannya berhenti
bergerak. Pandangannya pula beralih kepada lelaki separuh usia itu sambil
berkata, “4 hari.”
Pemuda itu menganggukkan
kepalanya dengan pasti.
Tuan Jurangan menghampiri meja
Nuruddin. Kemudian, perlahan jari telunjuknya dimajukan kehadapan lalu
mengerakkan sebiji manik pada sempoa itu. Sengaja dia lakukan semua itu bagi
menarik perhatian Nuruddin. Lalu terdengar suatu suara dari pemuda di
hadapannya, “Kenapa dua?”
Tuan Jurangan hanya tersenyum dia
kemudiannya berpusing lalu bergerak
menghampiri pintu sambil berkata, “Marilah, akan aku tunjukkan kenapa.”
Nuruddin hanya bergegas mengikuti
Tuan Jurangan sehingga ke geledak kapal. Tuan Jurangan kemudian menunjuk ke
arah panji-panji pada tiang seri. “Dapatkah kau lihat kenapa?”
Ketika itu barulah Nuruddin
sedar. “Adakah mungkin kelajuan angin sudah berubah?”
“Bukan sahaja angin, malah ombak
dan cuaca semuanya berubah dalam beberapa hari ini. Beberapa hari ini kau sibuk
dengan urusanmu di dalam bilik nakhoda sehingga lupa untuk melihat ke luar.
Jika hari ini aku tidak menyuruh kamu mengira perjalanan ke Kota Semerak
pastinya kau juga sudah lupa, bukan? ”
“Maaf, Tuan Jurangan.”
“Tidak mengapa. Kau hanya
terlupa, namun kesalahanmu itu tidak seharusnya berlaku. Kesilapan di dalam
mengira tempoh perjalanan mampu mengundang kepada maut. Sebagai nakhoda, kau
adalah orang yang bertanggungjawab kepada semua nyawa yang berada di atas kapal
ini. Ingat kata-kataku ini Nuruddin, di dalam laut nakhoda adalah orang yang
paling berkuasa di atas kapal. Mereka dianugerahkan dengan kuasa raja dan
bahtera mereka adalah kekuasaan mereka.”
“Akan saya ingati semua tunjuk
ajar tuan.”
“Seperkara lagi, tentang
penumpang yang kau bawa masuk itu. Apa mereka mempunyai sebarang masalah?”
“Maksud, tuan?”
....
“Nizam adakah kita harus berada
di dalam ruang ini sepanjang pelayaran ini?”,tanya seorang lelaki.
Nizam, pemuda yang berada di
hadapan lelaki tadi mengalih pandangannya daripada pedang di tangannya. Dia
kemudian berkata, “Kenapa, Wira?”
“Saya rasa sekali kala kita harus
keluar dari ruang simpanan ini dan mengambil angin di ruang geledak.”
“Untuk tujuan apa?”
“Demi mencegah rasa curiga di
kalangan komuniti setempat”,jawab seorang lagi lelaki.
“Kamu ada sebab yang kukuh, Waja.
Baiklah, kita boleh keluar ke ruang geledak tapi jangan timbulkan sebarang
masalah”,ujar Nizam setelah mendiamkan diri buat seketika.
“Akhirnya kita boleh keluar dari
ruang simpanan ini”,jerit Wira sambil berdiri. Dia kemudiannya berjalan keluar
dari tempat itu.
“Kau berhutang dengan aku untuk
ini”, balas Waja sambil mengekori Wira.
“Yalah, aku belanjalah kau
nanti.”
“Tuan tidak bersama kami ke
geledak?”,soal Wira. Langkahnya dihentikan sebentar.
“Tidak mengapa, kamu pergilah
dahulu. Aku akan ke atas bila keadaan sudah sunyi sedikit.”
...
Pemuda itu mengeluh. Jarinya berhenti
dari menulis sesuatu pada buku dihadapannya. Mungkin sekali catatannya. Matanya
kemudian dialihkan ke arah tingkap di sisinya, suasana di luar sudah gelap
sepenuhnya. Dia lalu bangun meninggalkan mejanya menuju ke arah pintu bersama
keris di tangan. Sekali sekala mengeluarkan peluh apa salahnya, detik hatinya
ketika itu.
Suasana pada malam itu
sepertimana pada malam lainnya, gelap cuma saja pada malam itu Peniti Awan di
sinari oleh rembulan. Dihiasi dengan para bintang juga didendangi dengan alunan
suara ombak dan bayu. Ya, sepertimana malam yang lainnya juga malam yang lain
dari yang biasanya, adalah malam yang indah. Itulah yang terlintas pada hati
Nuruddin.
Namun pada malam itu dia tidak
menyangka apabila tiba di ruang geledak, seseorang sudah tiba terlebih dahulu.
Sepertimana dirinya juga, lelaki di hadapannya itu bermain pencak di ruang
geledak. Dengan pedang jenawi di tangannya, lelaki itu mengatur langkah
bunganya dengan sempurna.
“Siapa sangka, ada juga yang
bermain pencak di sini”,kata Nuruddin membuka bicara.
Lelaki itu memberhentikan
jurusnya lalu menoleh ke arah suara itu. Dia kemudian berkata, “Maafkanlah jika
kehadiran hamba ini menganggu tuan. Tidak terniat pada hati untuk berlaku
sedemikian. Jika perlu, akan hamba undurkan diri ini dari tempat ini.”
“Tidak, tidak mengapa. Saya juga
mahu berpencak tadi, dan usahlah tuan berbahasa bunga dengan saya. Saya juga
sepertimana tuan, orang kebanyakan,”balas Nuruddin.
“Berpencak? Jadi tuan juga mahir
berpencak silat”
“Ya, salah satu latihan perantisku
adalah untuk berlawan dengan musuh. Jika tuan mahu, boleh saja kita
menggerakkan sendi dan tulang ini.”
“Jika itu pelawaan tuan, tidak
akan saya menolak.”
Sesudah kata-kata itu
masing-masing menghunus senjata sambil membuka langkah. Gelap awan yang tadinya
menghijabi cahaya bulan kini bagai membuka tirainya seolah mahu melihat
pertarungan di atas lancar itu.
“Oh sebelum terlupa, apa nama
tuan?”,tanya Nuruddin.
“Nizam dari Pawaka”
“Nurrudin dari Sarang Pulang”
Lalu bunyi besi berlaga menghiasi
malam itu. Awak-awak yang bertugas terpaku melihat pertarungan dua pahlawan
itu. Dan bintang juga menjadi saksi akan kehebatan kedua orang manusia itu.
...
Malam itu sebagaimana malam
sebelumnya riuh dengan suara sorakan. Masing-masing tidak mahu kalah dalam
memberi semangat kepada dua orang pemuda di dalam gelanggang itu.
“Nuruddin, kau tak rasa yang
mereka yang bersorak ini semakin ramai dan menganggu?”
“Yakah? Aku rasa mereka ini
memberi semangat padaku atau mungkin kau merasa kekalahan semakin dekat padamu
oleh itu kau mereka alasan untuk menutup malumu, Nizam”
“Oh, adakah itu caramu
memancingku. Terlalu cetek akalmu, umpanmu itu bagai bayi kecil pun merasa lucu
mendengarnya.”
“Apa?! Baiklah, ayuh tunjukkan
kemahiran itu atau jenawimu itu hanya hiasan?”
“Tidak perlu diundang, sahabat.
Memang akan ku tunjuk juga, semoga pedang lengkukmu itu cukup kuat menatang
seranganku”
Maka sekali lagi mereka berlaga
besi mempamer kemahiran dan kekuatan mereka. Buah demi buah dikeluarkan, peluh
yang keluar segera dikesat dan langkah yang hilang diatur semula. Mereka yang
melihat jua terpesona dengan gerak geri mereka.
Semuanya juga terleka sehingga terlupa akan
ombak yang semakin meninggi, angin yang semakin kuat dan awan yang semakin
gelap. Tidak lama untuk mereka sedar bahawa ribut semakin hampir.
“Berhenti!!” arah seuatu suara.
Perlawanan yang semakin hangat itu berhenti tiba-tiba. Teriakan dan sorakkan yang
tadinya meriah terus sunyi apabila melihat kelibat Tuan Jurangan.
“Tuan?”
“Lihat disekelilingmu, ribut
semakin melanda dan yang lebih teruk lagi, ini adalah kawasan Lanun Ribut”
Desas desus dikalangan awak-awak
semakin kuat. Lanun Ribut adalah diantara lanun yang paling merbahaya
diperairan Melati. Mereka hanya menyerang dikala ribut melanda dan mereka akan
merampas apa sahaja yang mereka lihat termasuk nyawa.
“Ayuh, bersedia di posisimu. Siapkan lela, pemuras dan apa jua senjatamu,
kita harus bersedia untuk apa saja bahaya yang mendatang.”
Seusai itu kesemua awak-awak
bertaburan mengambil posisi masing-masing. Ketika Nuruddin ingin ke posisinya,
Nizam menahannya.
“Izinkan aku menyumbang kepada
kekuatan angkatanmu, Nuruddin”
“Tapi kau ialah tetamuku,
tanggungjawab kami untuk melindungi kamu”
“Percayalah, aku dan sahabatku
bukanlah saudagar biasa. Kami mempunyai kemahiran lebih dari itu”
“Aku dapat lihat itu”
“Jadi, adakah aku mendapat
kebenaranmu, tuan nakhoda?”, tanya Nizam sambil merenung tajam ke arah
Nuruddin.
“Terpulang kepadamu, Nizam. Aku
tidak mampu untuk menghalangmu sekarang”, jawab Nuruddin sambil melangkah pergi.
“Dan aku bukan nakhoda. Sekurang-kurangnya
bukan sekarang”, katanya lagi. Nuruddin hanya tersenyum. Namun tiada mereka
tahu yang saat itu ialah kali terakhir mereka bertemu untuk satu tempoh yang
lama.
No comments:
Post a Comment