Ribut itu sudah pun lama
berlalu, laut sudah pun tenang namun hati Tuan Jurangan masih lagi bergelora. Pelbagai
jenis emosi berarus di dalam dirinya. Namun, mendiamkan diri tidak akan membawa
sebarang hasil.
Perlahan Tuan Jurangan menarik nafasnya dengan
panjang. Kemudian, dengan rentak yang sama dia membebaskan kembali nafasnya,
mindanya ligat berfikir mengenai perkara yang baru saja berlaku sebentar tadi.
“Aku
tidak tahu apa yang harus aku katakan dahulu, sama ada penghargaan ataupun
kesangsian dahulu padamu, Awang.”
Seorang pemuda dalam lingkungan
umur 20-an berdiri dihadapan Tuan Jurangan sambil melihat ke arah laut. Pemuda
yang bernama Awang itu tersenyum mendengar kata-kata Tuan Jurangan. Dia lalu
menjawab sambil menoleh ke arah Tuan Jurangan, “Oh. Mengapa pula begitu, tuan?”
“Penghargaan kerana menyelamatkan
aku serta seluruh anak kapal Peniti Awan , kesangsian pula kerana kehadiranmu
dan angkatanmu di luar perairanmu.”
“Adakah itu sahaja yang berada
dalam mindamu, tuan? Tiada kata-kata pujian atau kata selamat untuk bekas perantimu
yang kini bergelar Laksamana Ketiga?”
Tuan Jurangan hanya mendiamkan
dirinya. Suasana menjadi janggal seketika. Kedengaran suara batuk kecil dari
belakang Tuan Jurangan. Kedua lelaki itu menoleh ke arah suara itu. Seorang
wanita berpakaian lengkap dengan tatacara angkatan laut berdiri dibelakang mereka.
Wanita itu kemudian berkata, “Maaf atas kebiadapan saya, tuan tapi kehadiran
Angkatan Jentayu, serpihan kecil Angkatan Nilakandi di bawah Laksamana Ketiga
Awang, adalah di atas permintaan Jata Utama Pawaka.”
“Jata Utama Pawaka? Nampaknya
Raja Laksamana Angkatan Pawaka juga mahu menjadi Demang. Aneh, aku kenal orang
tua itu, kesetiaannya terhadap Jata Raja Mergastua tak pernah luntur.”
“Ya, tapi orang tua itu meninggal
dunia beberapa tahun lalu maka Laksamana Pertamanya telah mengambil alih
jawatan itu dan perkara pertama yang dia lakukan ialah menukarkan seluruh
Angkatan Pawaka menjadi Keluarga Jata dan menjalin kerjasama dengan jata lainnya.
Tapi harus kami akui, Demang baru ini benar-benar arif dengan hal siasah. Dalam
masa yang singkat dia mampu menaikkan jatanya menjadi Jata Utama”, balas Awang.
“Ah, begitu. Patutlah sudah tiada
khabar dari dia. Dan aku juga tidak menyangka akan bertemu kau di sini,
Tanjung. Nampaknya kau sudah menjadi bentara laskar Awang.”
“Saya sekarang bergelar Srikandi
Tanjung, tuan. Tugas saya adalah mengawal Laksamana Awang dari bertindak gila”,
kata Tanjung sambil tersenyum.
“Oi, Tanjung. Jangan buat cerita
yang bukan-bukan tentangku.”
Tuan Jurangan tersenyum buat
seketika namun tidak lama. Dia kemudian kembali berbicara, “Namun aku pasti ada
tujuannya kenapa aku diseru ke bilik nakhoda. Apa tujuanmu, Awang?”
“Gerak hati tuan sememangnya
tajam.”
“Tidaklah begitu, aku hanya makan lebih banyak garam darimu.”
“Itu sememangnya tidak dapat
dinafikan. Seperti yang Tanjung ceritakan tadi, kami diminta oleh Jata Pawaka
untuk membantu mereka dalam satu misi sulit.”
“Sulit? Tugasan apa hingga
menjadi sebegitu sulit?”
Lamunannya terhenti. Suatu suara
memanggilnya dari belakang. Perlahan Tuan Jurangan mengalih posisinya ke arah
suara tersebut. Susuk dua orang pemuda kelihatan di hadapannya.
“Tuan kami sudah sedia untuk
berangkat”, kata Wira.
“Tuan pasti tuan tahu bagaimana
untuk mencari Tuan Nizam dan Tuan Nuruddin?”,ujar Waja.
Tuan Jurangan tersenyum. Dia lalu
berkata, “Itu semua bergantung kepada Tuhan. Dengan berkat restu dan panduan
dari-Nya, Insya-Allah semua itu bakal terjadi.”
“Semoga begitulah hendaknya”,balas
Wira.
“Kau tahu ke apa makna
Insya-Allah tu, Wira?”,bisik Waja.
“Tak tahu. Aku main balas jer”,balas
Wira, juga berbisik.
“Dengan izin Tuhan, Wira. Dengan
izin Tuhan, Waja”, kata Tuan Jurangan dengan jelas.
“Ah uh, Ya, Tuan. Terima Kasih,
Tuan”, balas kedua-dua pemuda itu serentak.
Tuan Jurangan tersenyum melihat
tingkah laku kedua anak muda itu. Sebatang titi kecil disambung dengan Peniti
Awan. Lancar itu kini sudah siap berlabuh di pelabuhan.
“Dan dengan izin Tuhan juga kita
mampu menyelesaikan tugasan sulit itu nanti”,sambung Tuan Jurangan sambil
melangkah ke arah titian tersebut.
“Tapi bagaimana kita hendak
melakukannya, tuan?”, tanya Wira sambil mengikutinya.
“Pertama sekali kita harus
mencari maklumat kemudian barulah kita akan memikirkan tindakan selanjutnya”,
balas Tuan Jurangan.
“Dan bagaimana pula kami hendak
mencari maklumat tersebut? Baru hari ini kami menjejjak kaki ke Kota Melati”,ujar
Waja pula.
“Dan apa kalian fikir aku tidak
memikirkan perkara itu terlebih dahulu?”, jawab Tuan Jurangan sambil memandang
ke mereka, dingin. Kedua-dua pemuda itu terdiam.
“Usah khuatir, aku sudah pun
ikhtiharkan”, sambungnya lagi.
Wira memberanikan dirinya lalu
bertanya, “Telah tuan ikhtiharkan? Tapi bagaimana?”
“Ya, tapi untuk itu kita harus
melangkah ke alam bunian dahulu”
“Alam bunian?”
“Ya, alam bunian.”
No comments:
Post a Comment