Labels

Thursday 20 June 2013

Bentara Pawaka : Bab 4


                Ribut itu sudah pun lama berlalu, laut sudah pun tenang namun hati Tuan Jurangan masih lagi bergelora. Pelbagai jenis emosi berarus di dalam dirinya. Namun, mendiamkan diri tidak akan membawa sebarang hasil.

Perlahan Tuan Jurangan menarik nafasnya dengan panjang. Kemudian, dengan rentak yang sama dia membebaskan kembali nafasnya, mindanya ligat berfikir mengenai perkara yang baru saja berlaku sebentar tadi.

 “Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan dahulu, sama ada penghargaan ataupun kesangsian dahulu padamu, Awang.”



Seorang pemuda dalam lingkungan umur 20-an berdiri dihadapan Tuan Jurangan sambil melihat ke arah laut. Pemuda yang bernama Awang itu tersenyum mendengar kata-kata Tuan Jurangan. Dia lalu menjawab sambil menoleh ke arah Tuan Jurangan, “Oh. Mengapa pula begitu, tuan?”

“Penghargaan kerana menyelamatkan aku serta seluruh anak kapal Peniti Awan , kesangsian pula kerana kehadiranmu dan angkatanmu di luar perairanmu.”

“Adakah itu sahaja yang berada dalam mindamu, tuan? Tiada kata-kata pujian atau kata selamat untuk bekas perantimu yang kini bergelar Laksamana Ketiga?”

Tuan Jurangan hanya mendiamkan dirinya. Suasana menjadi janggal seketika. Kedengaran suara batuk kecil dari belakang Tuan Jurangan. Kedua lelaki itu menoleh ke arah suara itu. Seorang wanita berpakaian lengkap dengan tatacara angkatan laut berdiri dibelakang mereka. Wanita itu kemudian berkata, “Maaf atas kebiadapan saya, tuan tapi kehadiran Angkatan Jentayu, serpihan kecil Angkatan Nilakandi di bawah Laksamana Ketiga Awang, adalah di atas permintaan Jata Utama Pawaka.”

“Jata Utama Pawaka? Nampaknya Raja Laksamana Angkatan Pawaka juga mahu menjadi Demang. Aneh, aku kenal orang tua itu, kesetiaannya terhadap Jata Raja Mergastua tak pernah luntur.”

“Ya, tapi orang tua itu meninggal dunia beberapa tahun lalu maka Laksamana Pertamanya telah mengambil alih jawatan itu dan perkara pertama yang dia lakukan ialah menukarkan seluruh Angkatan Pawaka menjadi Keluarga Jata dan menjalin kerjasama dengan jata lainnya. Tapi harus kami akui, Demang baru ini benar-benar arif dengan hal siasah. Dalam masa yang singkat dia mampu menaikkan jatanya menjadi Jata Utama”, balas Awang.

“Ah, begitu. Patutlah sudah tiada khabar dari dia. Dan aku juga tidak menyangka akan bertemu kau di sini, Tanjung. Nampaknya kau sudah menjadi bentara laskar Awang.”

“Saya sekarang bergelar Srikandi Tanjung, tuan. Tugas saya adalah mengawal Laksamana Awang dari bertindak gila”, kata Tanjung sambil tersenyum.

“Oi, Tanjung. Jangan buat cerita yang bukan-bukan tentangku.”

Tuan Jurangan tersenyum buat seketika namun tidak lama. Dia kemudian kembali berbicara, “Namun aku pasti ada tujuannya kenapa aku diseru ke bilik nakhoda. Apa tujuanmu, Awang?”

“Gerak hati tuan sememangnya tajam.”

“Tidaklah begitu, aku hanya makan lebih banyak garam darimu.”

“Itu sememangnya tidak dapat dinafikan. Seperti yang Tanjung ceritakan tadi, kami diminta oleh Jata Pawaka untuk membantu mereka dalam satu misi sulit.”

“Sulit? Tugasan apa hingga menjadi sebegitu sulit?”

Lamunannya terhenti. Suatu suara memanggilnya dari belakang. Perlahan Tuan Jurangan mengalih posisinya ke arah suara tersebut. Susuk dua orang pemuda kelihatan di hadapannya.

“Tuan kami sudah sedia untuk berangkat”, kata Wira.

“Tuan pasti tuan tahu bagaimana untuk mencari Tuan Nizam dan Tuan Nuruddin?”,ujar Waja.

Tuan Jurangan tersenyum. Dia lalu berkata, “Itu semua bergantung kepada Tuhan. Dengan berkat restu dan panduan dari-Nya, Insya-Allah semua itu bakal terjadi.”

“Semoga begitulah hendaknya”,balas Wira.

“Kau tahu ke apa makna Insya-Allah tu, Wira?”,bisik Waja.

“Tak tahu. Aku main balas jer”,balas Wira, juga berbisik.

“Dengan izin Tuhan, Wira. Dengan izin Tuhan, Waja”, kata Tuan Jurangan dengan jelas.

“Ah uh, Ya, Tuan. Terima Kasih, Tuan”, balas kedua-dua pemuda itu serentak.

Tuan Jurangan tersenyum melihat tingkah laku kedua anak muda itu. Sebatang titi kecil disambung dengan Peniti Awan. Lancar itu kini sudah siap berlabuh di pelabuhan.

“Dan dengan izin Tuhan juga kita mampu menyelesaikan tugasan sulit itu nanti”,sambung Tuan Jurangan sambil melangkah ke arah titian tersebut.

“Tapi bagaimana kita hendak melakukannya, tuan?”, tanya Wira sambil mengikutinya.

“Pertama sekali kita harus mencari maklumat kemudian barulah kita akan memikirkan tindakan selanjutnya”, balas Tuan Jurangan.

“Dan bagaimana pula kami hendak mencari maklumat tersebut? Baru hari ini kami menjejjak kaki ke Kota Melati”,ujar Waja pula.

“Dan apa kalian fikir aku tidak memikirkan perkara itu terlebih dahulu?”, jawab Tuan Jurangan sambil memandang ke mereka, dingin. Kedua-dua pemuda itu terdiam.

“Usah khuatir, aku sudah pun ikhtiharkan”, sambungnya lagi.

Wira memberanikan dirinya lalu bertanya, “Telah tuan ikhtiharkan? Tapi bagaimana?”

“Ya, tapi untuk itu kita harus melangkah ke alam bunian dahulu”

“Alam bunian?”

“Ya, alam bunian.”








No comments:

Post a Comment