Labels

Tuesday 6 August 2013

Selamat Hari Raya!!!

Rasanya mungkin tak ramai yang baca blog ni, namun itu tidak menghalang penulis daripada ingin meluahkan rasa yang terbenam di dalam hati ini.

Setelah lama kita berpuasa akhirnya Syawal hampir menjelang juga. Oleh kerana itu, di dalam kesempatan ini penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam dan yang bukan juga. Mohon maaf zahir dan batin kerana sebagai manusia kita penuh dengan kesilapan dan dosa sesama kita.

Kepada pembaca setia novel web penulis, Bentara Pawaka mungkin mengambil sedikit masa lagi untuk siap kerana baru-baru ini penulis baru saja dilambakkan dengan pelbagai tugasan yang penulis sendiri pun sudah pening untuk siapkan. Mungkin apa bila siap nanti, 2 bab Bentara Pawaka akan penulis terbitkan langsung bersama satu cerita pendek mengenai satu lagi novel yang penulis bakal tulis.

Apa pun Semoga anda semua selama menyambut Aidilfitri ini dengan penuh kesyukuran dan kemaafan. SELAMAT HARI RAYA!!!
Disclaimer : Gambar diatas bukan hasil penulis, ni main ambik jer kat Google. Jangan saman saya yer :p

Thursday 20 June 2013

Bentara Pawaka : Bab 4


                Ribut itu sudah pun lama berlalu, laut sudah pun tenang namun hati Tuan Jurangan masih lagi bergelora. Pelbagai jenis emosi berarus di dalam dirinya. Namun, mendiamkan diri tidak akan membawa sebarang hasil.

Perlahan Tuan Jurangan menarik nafasnya dengan panjang. Kemudian, dengan rentak yang sama dia membebaskan kembali nafasnya, mindanya ligat berfikir mengenai perkara yang baru saja berlaku sebentar tadi.

 “Aku tidak tahu apa yang harus aku katakan dahulu, sama ada penghargaan ataupun kesangsian dahulu padamu, Awang.”

Sunday 9 June 2013

Penangguhan

Oleh kerana penulis sedang menghadapi peperiksaan, maka Bab 4 akan ditangguhkan hingga diberitahu. Harap maaf

Saturday 25 May 2013

Bentara Pawaka : Bab 3


Bab 3
               
Ombak yang deras kini beransur perlahan. Angin ganas kini mula menjadi tenang. Titisan hujan mula reda mengakhiri ribut malam. Embun pagi mula terlihat, basah tanah masih belum tersejat, kokokan ayam jantan baru saja terdengar namun sudah terlihat gerak geri manusia yang keluar mencari rezeki di awal pagi.
 Mentari baru sahaja naik sejengkal namun penduduk Pulau Melati Utama sudah lama keluar mencari rezeki. Ada yang keluar membawa cangkul. Ada yang pergi membawa bakul. Ada yang bangun membuka gerai, ada yang tiba membuka gudang. Masing-masing dengan cara hidup sendiri mencari rezeki sepanjang hari.


Saturday 20 April 2013

Bentara Pawaka : Bab 2


Bab 2
Pemuda itu tekun dalam pekerjaannya. Jarinya tangkas bergerak menukar posisi manik pada sempua manakala pada tangan kanannya pula menggerakkan pena, mencoret sesuatu pada suatu helaian kertas. Kadang-kala mataya akan bergerak melihat pada lembaran peta yang digantung pada dinding bilik tersebut.

Perbuatannya itu sudah beberapa kali dilakukannya  sambil diperhatikan oleh seorang lelaki separuh usia. Seketika kemudian, tangannya berhenti bergerak. Pandangannya pula beralih kepada lelaki separuh usia itu sambil berkata, “4 hari.”

Tuan Jurangan tersenyum. Dia lalu bertanya, “Kau pasti, Nuruddin?”


Friday 29 March 2013

Penangguhan

Maaf kepada semua pembaca. Bab 2 Bentara Pawaka akan ditunda buat sementara waktu. Segala kesulitan adalah amat dikesali

Saturday 23 February 2013

Pembetulan

Maaf kepada semua pembaca. Oleh kerana ketiadaan Editor maka kesalahan yang timbul pada Bentara Pawaka Bab 1 lambat dikesan. Penulis baru saja membetulkan dan menemaskini Bab1.

Friday 22 February 2013

Bentara Pawaka : Bab 1


Layanan Pertama:Perlayaran Bermula

Sudah berapa lama rasanya, sejak kali terakhir dia merasa nyaman angin petang bertiup, betapa sejuknya suasana pagi, betapa wanginya bunga yang berkembang mekar. Namun kini semua itu hanya sekadar kenangan. Dari belakang jendela itu,  dia hanya mampu melihat ke luar dengan rasa cemburu. Terlantar di atas katilnya, dia sudah tidak mampu lagi berdiri apatah lagi hendak berjalan seperti dulu. Dia kini terpaksa bergantung kepada ehsan orang lain dan menghitung sisa-sisa waktu hidupnya.

Bunyi pintu diketuk memecah suasana sepi. Satu suara menyampaikan tujuan ketukan itu.

 “Masuklah”,kata lelaki tua itu.


Saturday 16 February 2013

Projek Siri Kesatuan Mergastua & Bentara Pawaka


Salam kepada semua,

    Saya Hijau Muda mengumumkan projek terbaru saya Siri Kesatuan  Mergastua kepada semua.
Siri Mergastua mengisahkan tentang sebuah kepulauan yang dinamakan sebagai Kepulauan Mergastua. Ia berkaitan tentang seorang bekas laksamana yang cuba mencari Kepala Mergastua, iaitu warisan Jata Bapa Mergastua, Jata yang memerintah Kepulauan Mergastua dahulu sebelum hancur oleh kerana serangan luar dan perebutan kuasa di kalangan menteri dan panglimanya sendiri.
   Dan dengan itu juga saya umumkan novel pertama daripada Siri Mergastua, Bentara Pawaka. Dengan ini saya selitkan juga prebiu untuk Bentara Pawaka. Semoga anda nikmati prebiu ini.

Sekian, Wasalam.
....
Sudah berapa lama rasanya, sejak kali terakhir dia merasa nyaman angin petang bertiup, betapa sejuknya suasana pagi, betapa wanginya bunga yang berkembang mekar. Dari belakang jendela, kini  dia hanya mampu melihat ke luar dengan rasa cemburu. Terlantar di atas katilnya, dia sudah tidak mampu lagi berdiri apatah lagi hendak berjalan seperti dulu.Teringat pada benak fikiran lelaki tua itu kisah-kisah lamanya. Dia kini terpaksa bergantung kepada ehsan orang lain dan menghitung sisa-sisa waktu hidupnya.


Wednesday 13 February 2013

Pertemuan

Ini sebenarnya karya lama. Saya menulis cerpen ini ketika Tingkatan 4. Waktu itupertama kali saya menulis cerpen dan ini adalah di antara karya sulung saya.


PERTEMUAN
Budak perempuan itu berjalan menyusun langkahnya mengikuti lelaki yang berada di hadapannya dengan perlahan. Sudah beberapa kali lelaki itu berhenti seolah-olah sengaja menunggu supaya budak perempuan itu mendekatinya. Budak perempuan itu pula hanya mengikuti secara senyap, takut akan diketahui lelaki itu, lebih-lebih lagi apabila dia berada di dalam sebuah hutan yang tebal jauh daripada sebarang pertembungan tamadun mahupun manusia yang lain. Pertemuannya dengan lelaki itu merupakan suatu kebetulan yang aneh sekali dan sebagai seorang perempuan yang masih lagi kanak-kanak dia harus berhati-hati.

Pustaka


PUSTAKA   Oleh : Hijau Muda
Di dalam bilik yang terpencil itu ada seorang tua. Menyelak kertas demi kertas, membaca buku demi buku. Mengisi masa tuanya yang sepi di dalam pustaka kecilnya itu. Sebuah suara tiba memecah kesunyian. Dia terkejut. Menoleh melihat sumber suara itu.
Kosong. Tiada satu pun kelibat manusia. Bagaimana mungkin suara keluar tanpa sumbernya, fikir si tua itu. Suara ketawa itu kedengaran lagi tapi kini lebih hampir dengannya.  Dia memandang ke bawah.
Seorang bayi tersenyum melihatnya. Mengeluarkan hilai ketawa yang comel bersamanya lalu merangkak ke arah si tua itu. Si tua itu terkejut. Ekspresi terkejutnya diluahkan melalui kata-kata berikut, “Apa yang budak sekecil kamu buat di sini?” Lelaki tua itu lantas mengangkat bayi itu. Melihat seolah-olah bayi itu sesuatu yang asing.

Salam perkenalan,

     Saya, Hijau Muda, orang baru dalam bidang penulisan. Tujuan saya membina blog ini ialah sebagai tapak asas bagi saya memperkenalkan hasil karya saya. Oleh kerana saya masih lagi hijau, maka banyak karya saya masih lagi penuh dengan kelemahan. Jadi saya mohon jasa baik pihak pembaca sekalian untuk memberi tunjuk ajar kepada saya melalui blog ini.

   Akhir kata, semoga anda semua terhibur dengan hasil perahan minda saya nanti.

 Wasalam