Labels

Wednesday 13 February 2013

Pustaka


PUSTAKA   Oleh : Hijau Muda
Di dalam bilik yang terpencil itu ada seorang tua. Menyelak kertas demi kertas, membaca buku demi buku. Mengisi masa tuanya yang sepi di dalam pustaka kecilnya itu. Sebuah suara tiba memecah kesunyian. Dia terkejut. Menoleh melihat sumber suara itu.
Kosong. Tiada satu pun kelibat manusia. Bagaimana mungkin suara keluar tanpa sumbernya, fikir si tua itu. Suara ketawa itu kedengaran lagi tapi kini lebih hampir dengannya.  Dia memandang ke bawah.
Seorang bayi tersenyum melihatnya. Mengeluarkan hilai ketawa yang comel bersamanya lalu merangkak ke arah si tua itu. Si tua itu terkejut. Ekspresi terkejutnya diluahkan melalui kata-kata berikut, “Apa yang budak sekecil kamu buat di sini?” Lelaki tua itu lantas mengangkat bayi itu. Melihat seolah-olah bayi itu sesuatu yang asing.


Bayi itu hanya tersenyum dan sesekali tertawa melihat gelagat lelaki tua itu. Si tua itu pula hanya terus memerhati bayi perempuan itu. Dia kemudian berkata ,“Apa nama kamu, si kecil?”. Bayi itu hanya tertawa seperti biasa. Mengeluarkan senyuman seindah bunga.
Orang tua itu turut tersenyum. Sudah berapa lama dia tidak merasakan senyuman seseorang. Lebih-lebih lagi dari seorang bayi. “Baiklah. Aku akan menemani kau di sini buat sementara waktu, si kecil,”kata lelaki tua itu. Ruang yang selalunya sunyi dan muram kini menjadi hangat dan ceria dengan kehadiran si kecil itu. Pustaka kecil itu bertambah kembali pelawatnya.

Beberapa tahun Kemudian...
Lelaki tua itu masih lagi menyelak kertas demi kertas, membaca buku demi buku. Masih lagi di dalam bilik yang sama. Masih lagi di dalam pustaka yang sama. Suasana sunyi yang sama, tiada yang berubah.  Kalau ada itu hanyalah bilangan kedutan di muka dan uban di rambut.
Buku yang sama dibaca dari dulu cuma kali ini lebih berusia. Pandangannya tidak berubah. Masih pada buku itu. Tanpa dia sedari, pandangan itu menjadi gelap secara tiba-tiba. Adakah maut sudah memanggilnya atau anugerah matanya sudah di tarik darinya. Tiba-tiba kedengaran satu suara. Suara yang amat dia rindu. Suara yang melembutkan hatinya dan membasahi matanya.
“Cuba teka siapa ni?” kata suara itu. Lelaki tua itu tersenyum. Mana mungkin dia dapat melupakan suara itu. Suara yang sering menggegar sanubarinya.
“Agaknya siapa orang yang menutupi mata atuk ini?”soalnya di dalam kepura-puraan. Tangan kecil yang tadinya menutup penglihatan lelaki tua itu dibuka. Penglihatan lelaki tua itu kembali cerah. Dia lalu menoleh ke belakangnya. Seorang budak perempuan berdiri di hadapannya. Melemparkan senyuman manis padanya.
“Eh, si kecil sudah datang rupanya,”canda lelaki tua itu. Muka yang tadinya manis berubah masam. Budak perempuan itu ternyata tidak berpuas hati dengan kata-kata atuk itu.
“Atuk ni, selalu saja panggil Sara si kecil. Sara sudah besarlah atuk,”rungutnya dengan muka yang masih masam. Lelaki tua itu terhibur melihat gelagat cucu perempuannya itu. Dia lalu memujuk cucunya itu dengan, “Maaflah, nanti atuk bawa Sara berjalan-jalan di taman bunga itu nanti, nak?”
“Betul ni, atuk?”tanya Sara kembali. Mukanya yang masam kembali ceria. Teruja dengan pelawaan datuknya mungkin.
“Ya. Nanti atuk bawakan,”balas lelaki tua itu kembali.
Ruangan pustaka itu kembali riang dengan kehadiran Sara. Senyuman manis beserta sorakan gembiranya memenuhi setiap sudut pustaka itu.
“Atuk, cepatlah sikit,”kata Sara. Berdiri menanti datuknya.
“Cucu atuk memang bersemangat,”balas lelaki tua itu, tersenyum sambil melihat cucunya bermain-main di taman itu. Sara mengejar seekor  rama-rama yang baru saja di jumpa. Namun disebabkan keasyikannya Sara terjatuh. Dia lalu menangis.
“Cucu atuk menangis, ya?” katanya sambil ketawa.
“Atuk!!,”jerit Sara sambil menangis. Dia kemudian mendapatkan datuknya.
Lelaki itu kemudiannya mendukung Sara, cuba untuk menenteramkan cucu kesayangannya.
“Dah, kalau Sara berhenti  menangis nanti atuk ceritakan pada Sara sebuah cerita”,pujuk lelaki itu. Sara seolah-olah terpukau dengan tawaran datuknya terus berhenti walaupun masih lagi ada esakkannya. Sara kemudian membalas, “Cerita apa, tuk?”
Lelaki itu tersenyum. Dia kemudian mula bercerita, “Sara kamu tahu, dulu di taman ini tinggalnya seorang puteri yang jelita.”
“Puteri tu cantik tak, atuk?”,tanya Sara.
“Mestilah, kalau tak takkanlah atuk panggil puteri yang jelita, kan?”,balas lelaki itu kembali. Sara mengangguk. Lelaki itu meneruskan ceritanya kembali.
“Sara sudah tertidur, ayah”, kata seorang wanita. Lelaki separuh usia itu tersedar. Dia tidak tahu bahawa cucu kecilnya itu sudah lama tertidur di pangkuannya mahupun jua dia tertidur ketika bercerita pada cucunya itu.
“Ya, ayah pun tidak sedar dia sudah tertidur”, balasnya ringkas. Perlahan dia mengangkat cucunya itu lalu diberinya kepada anaknya. Seolah tidak mahu berpisah tangan Sara masih berpaut kuat pada baju datuknya itu.
“Ah, tangannya masih memegang bajuku. Sebentarnya, nak”, kata lelaki itu.
“Tidak mengapa ayah. Sara memang selama ini rapat dengan ayah. Biarlah ayah menemani dia dahulu, esok pagi saya akan datang mengambilnya”, kata wanita itu.
“Maaflah, nak. Walaupun kamu dan suamimu  sibuk dengan urusanmu tapi kamu berdua tetap jua meluangkan masa untuk orang tua ini.”
“Bukan begitu ayah. Sara yang begitu mendesak kami untuk berjumpa dengan ayah. Jika bukan kerana Sara pasti kami pun lupa untuk mengunjungi ayah”,kata seorang lelaki yang juga bapanya Sarah.
“Begitu, jadi selama ini aku berhutang budi pada cucuku sendiri rupanya”,kata lelaki tua itu sambil tersenyum. Dia membelai Sara dengan penuh kasih sayang.
 “Namun sayang waktuku bersamanya tidak lama. Tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini. Apa yang berlaku ketika itu hanya Tuhan saja yang tahu.”
Wajah mereka di sekelilingnya terus saja berubah. Hanya wajahnya serta Sara yang masih tertidur itu saja yang tidak berubah. “Janganlah berkata begitu, ayah masih ada harapan.”
Lelaki itu hanya mendiamkan dirinya hanya senyuman saja yang terukir pada mukanya.

Beberapa bulan kemudian...
Lelaki tua itu kini terlantar di dalam biliknya. Dia sudah terlalu lemah untuk bergerak. Hanya menunggu saatnya saja. Dia sudah tiada kekesalan lagi Cuma hanya satu saja ynag sentiasa dia fikirkan setiap masa. Dari luar sudah kedengaran bunyi bising. Tiba-tiba pintu bilik lelaki tua itu dihempas. Kedengaran seseorang berkata,”Atuk”.
Seorang budak perempuan masuk ke dalam bilik itu. Dari matanya sudah bercucuran air-air jernih. Dia segera mendapatkan lelaki tua itu.
“Eh, si kecil sudah datang, ya?”kata lelaki tua itu sambil bangun dari tempat tidurnya. Menutup perasaan sakit yang dia hadapi. Dia tahu cucunya itu sedang sedih. Dia cuba meringankan  kesedihan cucunya itu.
“Atuk jangan bergerak dulu. Atuk kena banyak berehat baru boleh cepat sembuh. Lepas tu baru kita boleh jalan-jalan di taman bunga itu lagi atau bersihkan pustaka lama atuk, ya?”kata Sara. Dia cuba menghalang lelaki tua itu dari bangkit dari tempat tidurnya.
Lelaki tua itu tersenyum. Gembira apabila melihat cucunya itu masih lagi mengambil berat tentang dirinya. Sama saja dengan arwah isterinya.
“Tak apalah, Sara. Ini sudah masa atuk. Atuk sudah lama hidup. Jauh lebih lama dari kamu. Sekarang ini atuk hanya mahu berehat saja,”kata lelaki tua itu.
“Tapi kalau atuk pergi nanti siapa yang nak temankan Sara nanti? Sara nanti tak ada temanlah,”kata Sara.
Lelaki tua itu terdiam. Dia menunjukkan senyumannya kepada Sara. Dia kemudian berkata, “Kamu tahu Sara, sebelum kamu lahir, sebelum kamu datang ke dalam pustaka kecil atuk, sebelum senyuman manis dan ketawa lucu kamu menyapa atuk, atuk pun keseorangan. Sejak kematian nenek kamu, atuk kesunyian. Tiada teman berbual. Tiada kawan untuk bergurau. Jadi atuk pun mengunci diri atuk di dalam pustaka itu.”
Sara terdiam mendengar cerita lelaki tua itu. Matanya masih belum berhenti mengeluarkan air mata. Mukanya masih menunjukkan perasaan risau dan sedih yang teramat sangat.
“Kemudian kamu muncul di dalam hidup atuk. Cara kamu bercakap dan perangai kamu sama saja dengan arwah nenek kamu. Luaran dan dalaman. Tidak ubah walau sedikit pun dengan nenek kamu,”tambah lelaki tua itu lagi. Dia meletakkan tangannya di atas kepala Sara.
“Jadi janganlah kamu bersedih lagi, Sara. Lambat laun kau pasti akan berjumpa dengan pengganti atuk suatu hari nanti. Berjanjilah dengan atuk bila kamu sudah berjumpa dengan dia, berkawanlah dengannya sebagaimana kau berkawan dengan atuk dulu, ya,”kata lelaki tua itu lagi.
“Ya, Sara janji,”balasnya. Air matanya kini lebih laju menuruni pipinya. Dia tahu riwayat lelaki tua itu sedang menghampiri penghujungnya.
“Baguslah kalau begitu. Atuk langsung tidak memempunyai sebarang kekesalan di dalam hidup atuk cuma saja atuk tidak dapat melihat kamu membesar menjadi seorang gadis yang jelita kelak, si kecil,”selepas kata-kata itu lelaki tua tersebut melafazkan dua kalimah syahadah. Dia mengucapkan kata-kata tersebut dengan senyuman yang amat manis. Semanis senyuman pertama dia dengan si kecilnya itu dahulu.

Beberapa Tahun Kemudian...
Pustaka itu masih lagi dikunjungi. Bukunya masih lagi dibaca. Cuma pengunjungnya saja yang berbeza. Kini yang duduk  di atas kerusi itu ialah seorang gadis yang jelita. Gadis jelita yang pernah dikatakan datuknya. Gadis yang juga pernah dikenali sebagai si kecil sedang menghabiskan waktu lapangnya di situ. Membaca berbanding berbual dengan teman sebayanya.
Seorang wanita memasuki ruang pustaka itu. Dia seolah tergesa mengejar sesuatu. Dia lalu berkata, “Sara, ibu terpaksa keluar dulu, nanti ada pelajar ibu datang tolong layan dia dulu, ya?”. Kemudian dia bergegas pergi tanpa memberi peluang kepada Sara untuk menjawab.
Sara sekadar melihat sahaja susuk tubuh ibunya meninggalkan ruang itu. Dia kemudian menyambung pembacaannya. Membaca sehingga terlupa akan waktu dan persekitarannya. Suatu nostalgia lama tertimpa padanya kembali seolah memburunya dari masa silam. Matanya tiba-tiba sahaja menjadi gelap. Adakah dia sudah buta, sudah tentu tidak getus hatinya. Dia yakin kerana selepas itu suatu suara bertanya kepadanya, “Cuba teka siapa ni?”.
“Sepatutnya kakak yang tanya soalan itu”,balas Sara. Matanya kembali cerah. Dia lalu menoleh ke arah sumber suara itu. Seorang budak kecil berdiri di hadapannya.
“Hmm, kakak siapa?”tanya si kecil itu. Sara tersenyum.
“Kakak penjaga dan pemilik pustaka ni. Adik pula sedang buat apa di sini?”balas Sara kembali.
“Saya tengah cari abang saya. Kakak ada nampak tak abang saya? Tadi saya dengan abang  tapi bila sampai dalam rumah ni abang terus hilang”terang adik kecil itu. Dia kelihatan agak resah.
“Apa kata kakak temankan adik sementara adik tunggu abang adik, nak?”, cadang Sara. Maisara kelihatan agak gembira. Dia lalu mengeluarkan senyuman seindah bunga. Seindah senyumannya juga. Sambil mengangguk kepalanya adik kecil itu juga berkata, “Baiklah, kakak.”
Tiba-tiba kedengaran suara tapak kaki berlari sambil memanggil sesuatu. Pada mulanya suara itu hanya sayup-sayup sahaja. Sesayup bunyi daun ditiup angin, kemudian semakin lama semakin jelas dan lalu akhirnya kedengaran suatu nama. Dari situ seorang lelaki muncul sambil memanggil, “Sara!!.”
“Ya!!”, kedua-duanya, baik kakak penjaga pustaka itu mahupun adik kecil itu, menjawab pada masa yang sama. Kedua-duanya juga terkejut lalu melihat sesama sendiri. Si adik kecil itu memecah kebuntuan, “Nama kakak Sara, ke?”
“Ya, adik pun sama?”
“Ya, nama adik Maisara tapi panggil Sara sahaja.”
Kedua-duanya tersenyum. Mengenang peristiwa yang berlaku meninggalkan lelaki itu dalam kekeliruan. “Saya terlepas sesuatukah?”,tanya lelaki itu kebingungan.
“Taklah, abang baru saja membuat suatu permulaan yang menarik”,jawab Maisara riang sambil  menambah kekeliruan abangnya itu.
“Selamat berkenalan. Saya Sara, kawan baru adik kamu”,sambung Sara spontan membuka kepada suatu kisah yang persahabatan yang baru.

No comments:

Post a Comment