Labels

Friday 22 February 2013

Bentara Pawaka : Bab 1


Layanan Pertama:Perlayaran Bermula

Sudah berapa lama rasanya, sejak kali terakhir dia merasa nyaman angin petang bertiup, betapa sejuknya suasana pagi, betapa wanginya bunga yang berkembang mekar. Namun kini semua itu hanya sekadar kenangan. Dari belakang jendela itu,  dia hanya mampu melihat ke luar dengan rasa cemburu. Terlantar di atas katilnya, dia sudah tidak mampu lagi berdiri apatah lagi hendak berjalan seperti dulu. Dia kini terpaksa bergantung kepada ehsan orang lain dan menghitung sisa-sisa waktu hidupnya.

Bunyi pintu diketuk memecah suasana sepi. Satu suara menyampaikan tujuan ketukan itu.

 “Masuklah”,kata lelaki tua itu.




Bunyi pintu dibuka kedengaran perlahan. Kelibat seorang lelaki kelihatan dari belakang dedaun pintu. Lelaki tua itu terkilan. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa pemuda itu akan datang menziarahinya. Bahkan, dia sama sekali tidak menyangka bahawa pemuda itu tahu akan keberadaannya di situ.
Pemuda itu mendekati dirinya lalu menggenggam tangannya d berkata kepadanya dan dalam nada yang lembut,“Kita bersua kembali, ayah.”

Rintik-rintik air membasahi pipi lelaki tua itu. Dia mengesat matanya. Hatinya begitu terharu. Entah kenapa panggilan ‘ayah’ itu begitu terkesan pada hatinya.

“Ayah,” panggil pemuda itu semula pada nada risau.

“Anak, maafkanlah orang tua ini, malah orang tua ini juga tiadalah layak dipanggil ayah. Lagipula, anak tidak sepatutnya ada di sini, bukankah Jata Utama lebih memerlukan anak.”

“Kita juga ada tugas di sini, juga tugas berkaitan dengan ayah juga. Maka itu kita ambil kesempatan ini, untuk berjumpa dengan ayah sekali lagi.”

“Perintah apakah itu, anak. Sehingga memerlukan bantuan si tua ini”

Pemuda itu tersenyum sambil berkata, “Ia suatu yang sulit. Akan saya ceritakan kemudian.”

Lelaki tua itu tersenyum. “Baiklah, apa saja yang anak mahu akan orang tua ini lakukan yang termampu.Namun begitu, orang tua ini sudah lanjut usianya. Tidak banyak yang dapat dia lakukan.”Dia terhenti. Melepaskan batuk seketika kemudian menyambung kembali, “Tapi orang tua ini masih ingin melakukan satu perkara. Mahukah anak laksanakan bagi pihaknya?”

“Jangan berkata begitu, ayah pasti akan sembuh kelak. Katakanlah saja apa permintaan, ayah”, Sinar mata pemuda itu menunjukkan tekadnya.

Lelaki tua itu tersenyum. Dia kemudian membalas kata-kata pemuda itu, “Namun hajatku ini tidak mampu aku tunaikan tanpa kehadiranmu.”Dia menanggalkan cincin pada jarinya lalu menyarungkannya pada jari pemuda itu sambil membisikkan sesuatu padanya..

“Bagaimana? Bolehkah, anak?”

 “Akan saya usahakan, ayah.”
 .....
Pada suatu sudut yang lain, di kawasan yang jauh dari orang ramai ada seorang lelaki yang mana usianya sudah mulai memakan wajahnya. Cuma saja dirinya yang tedap dan tinggi itu sahaja masih belum ditarik dari kemampuannya. Lelaki itu hanya berdiri di hadapan kawasan batu bata yang mengunung . Mendiamkan diri tanpa mengucap sebarang perkataan. Membiar saja masa di sekelilingnya berlalu, suasana di sekitarnya berubah. Seolah sedang memikirkan suatu yang dalam, seolah rohnya keluar dari jasadnya.

“Tuan, Peniti Awan sudah siap untuk berlayar”,kata seorang pemuda. Nafasnya yang tercungap itu ditahan seketika sebelum kembali mengambil nafasnya semula.

Tersentak dari lamunannya, lelaki itu memandang ke arah pemuda itu dengan perlahan lalu tersenyum. Dia kemudian mengusap janggutnya sebelum berkata, “Jadi sudahkah kau bersedia, Nurudin? Untuk pelayaran pertamamu?”

“Ya, tuan. Saya sudah tidak sabar untuk memulakannya”,katanya bersemangat.

Lelaki itu tersenyum sambil memulakan langkahnya. “Baiklah, jika begitu mari kita ke Peniti Awan”.

“Baiklah, Tuan Jurangan”,kata Nuruddin sambil menyusuli lelaki itu.
            
            “Tuan, bangunan apa yang pernah ada di kawasan itu?”

“Kawasan? kawasan apa yang kau katakan, Nuruddin? ”

“Kawasan berbatu yang tuan lihat tadi”

“Oh, bagaimana kau tahu kawasan itu dahulunya sebuah bangunan?”

“Kerana kawasannya yang luas serta batunya yang banyak. Malah bentuknya yang ganjil juga seolah memberi suatu kata-kata bahawa ‘Aku pernah berdiri di sini’, tuan.”

Tuan Jurangan tersenyum lalu tertawa seketika. Dia kemudian berkata, “Pemerhatianmu begitu tajam. Teruskanlah begitu dan tidak lama lagi kamu akanku lantik sebagai jurangan bahteraku.”

“Haha, akan saya lakukan seperti yang tuan katakan.”

“Seperti yang kau katakan, Nuruddin. Dahulunya kawasan itu pernah berdiri sebuah bangunan yang agam. Tempat itu pernah menjadi tumpuan segala dagang dan manusia. Harta dan pengetahuan, menteri dan utusan, raja dan rakyat.”

“Bagaimana suatu yang begitu penting mampu menjadi sedemikian rupa?”

Tuan Jurangan terhenti. Dia terdiam seketika sebelum berkata,“Nuruddin, ingatlah bahawa di dunia ini tiada yang abadi. Kau sepatutnya lebih tahu dari orang lain tentang itu.”

Nuruddin terdiam seketika apabila mendengar kata-kata Tuan Jurangan tersebut. Dia kemudiannya membalas, “Ya, Tuan Jurangan.”

“Baguslah jika kau mengerti. Tentang runtuhan itu pula biar saja aku ceritakan pada kesempatan lainnya. Lihat kapalmu sudah menunggu untuk berlepas.” Seraya itu juga Tuan Jurangan menudingkan jarinya kepada lancar di hadapannya.

Seketika itu juga semangat Nuruddin berubah. Tiba-tiba sahaja perasaannya menjadi ceria. Dihadapannya kelihatan Peniti Awan, lancar kepunyaan Tuan Jurangan. Badannya sederhana sahaja namun cukup untuk menampung sepuluh lela dan dua puluh rentaka serta seangkatan awak-awak dan bekalan juga dagangan.

Tiangnya pula tiga semuanya, menangkap tenaga angin untuk berlayar di lautan lepas. Biarpun kecil namun Peniti Awan jauh lebih laju dan pantas berbanding kapal lainnya. Malah kendaliannya jauh lebih mudah daripada bahtera.

 “Nuruddin, apa kata kau pergi periksa sekali lagi semua bekalan dan dagangan kita.”

“Baiklah, tuan”, kata Nuruddin sambil berlari ke arah Peniti Awan.

Setelah kelibat Nuruddin hilang di sebalik Peniti Awan itu, Tuan Jurangan berpaling ke belakang menghadap suatu manusia.

 “Aku sungguh tidak menyangka akan kehadiranmu. Aku pasti bahawa kau tidak mahu berjumpa denganku”,kata Tuan Jurangan.
...

Setibanya dia di ruang gudang tempat simpanan segala bekalan dan dagang di carinya awak-awak yang bertugas lalu bertanya, “Bagaimana dengan ruang gudang?”

“Semuanya siap, tuan muda”,kata seorang awak-awak.

“Baiklah, pergi berehat. Kita akan bertolak tidak lama nanti”,kata Nuruddin melepaskan kumpulan awak-awaknya itu. Semuanya mengangguk sambil berjalan keluar dari ruang gudang itu. Namun Nuruddin masih lagi di situ menyemak kembali senarai barang bekalan dan dagangan di gudang itu. Namun kemudian tumpuannya terganggu apabila seorang awak-awaknya datang memanggilnya.

“Tuan muda, ada seorang lelaki mahu menemui tuan di limbungan.”

“Oh, baiklah. Kamu teruskan pekerjaanku. Biar aku menemuinya”

Setelah keluar dari ruang gudang itu, Nuruddin terus ke limbungan untuk menemui lelaki tersebut.

“Adakah saudara yang ingin menemui saya?”

“Ya, memang benar. Saya memerlukan bantuan tuan”

“Bantuan? Bantuan apa yang saudara perlukan?”
...

Di hadapan Tuan Jurangan berdiri seorang wanita pada usia senjanya. Lebih kurang seumur dengan Tuan Jurangan namun jelitanya masih lagi terpancar pada rupa paras wanita tersebut.

“Aku sama sekali tidak menyangka kehadiranmu di sini. Bukankah kau masih lagi marah padaku?”

“Mana mungkin seorang isteri meninggalkan suaminya begitu sahaja, lebih-lebih lagi apabila suami itu seorang yang tidak tahu akan batasan dirinya dan maut dihadapannya. Itu pun juga kerana sifatnya yang sentiasa mahu menempah maut di dalam kebodohan dirinya”,sindir wanita itu dengan tajam.

“Dan aku seorang suami yang paling bertuah di dunia ini kerana mempunyai seorang isteri yang begitu bijak serta sentiasa mengambil berat akan diriku, bukan begitu Ayu?”

“Mengapa kau berkata begitu? Apa fikiranmu sudah tidak waras?”

Tuan Jurangan hanya tersenyum. Puan Ayu pula masih mendiamkan diri.

Puan Ayu memulakan bicara, “Jurangan, kau bukannya muda seperti dulu, bukankah Angkatan Sayap Emas mempunyai ramai hulubalang dan pendekar yang handal. Siapa yang akan menjaga Pulau Sarang Buang? Siapa yang akan mengawal Angkatanmu apabila ketiadaanmu? Apa yang harus aku lakukan apabila kau sudah tiada nanti? ”

Ketika itu, suatu rasa hangat menyelimuti tubuh Puan Ayu. Ketika itu juga air mata Puan Ayu membasahi bahu Tuan Jurangan. Puan Ayu berkata di dalam pelukan Tuan Jurangan, “Mengapa kau masih begitu mementingkan diri serta keras kepala? Mengapa kau masih begitu degil? Apakah kewujudan aku begitu menyeksa dirimu sehingga kau mendambakan laut, Jurangan?”

“Bukan begitu Ayu. Kewujudanmu itu adalah suatu anugerah yang tidak bernilai di sisiku. Kau adalah hadiah yang paling penting dari Tuhan untukku. Mana mungkin aku terseksa malah jauh dari itu aku berasa sangat bahagia.”

“Jika begitu mengapa kau harus pergi sendiri bersama Nuruddin. Mengapa kau tidak membawa bersama Awang dan yang lainnya? Dan mengapa kau tidak benarkan aku mengikutmu?”

“Kerana mereka  memerlukan kamu di sini, isteriku. Awang akan menggantikan aku, ayahnya selaku Raja Laksamana Angkatan Sayap Emas dan dia masih terlalu muda dan mentah untuk ditinggalkan berseorangan dengan kuasa yang begitu besar tanpa panduan darimu. Oleh kerana itu aku tinggalkan kamu bersamanya kerana aku yakin dengan dirimu dan kebijaksanaanmu, Ayu.”

Dengan penuh kelembutan Tuan Jurangan meleraikan pelukannya itu. Tangannya masih lagi memegang bahu Puan Ayu. “Dan Nuruddin pula, aku harus bawanya untuk pelajaran yang seterusnya. Sebagai sampingan kepada amanat yang aku bawa.”

Perlahan jari Tuan Jurangan mengusap air mata Puan Ayu. Dia kemudian mengucup dahi isterinya itu. Dengan senyuman dia berkata, “Dan tentang aku pula, janganlah kau khuatirkan. Akan aku kirimkan beritaku padamu pada setiap pelabuhan yang aku singgah dan juga pada setiap purnama pada Tasik Bayangan. ”

“Janji?”

“Janji.”

Seiring dengan tiupan angin, kain layar berkibar ditiup kencang menarik tiang dan kapal ke hadapan menjauhi pelabuhan. Membawa kepada haluan yang mereka tuju. Puan Ayu masih lagi kelihatan di pinggir limbungan itu sambil melambaikann tangannya.

“Puan Ayu, kami pergi dahulu”,jerit Nuruddin sambil melambaikan tangannya pada Puan Ayu.

“Adakah kau akan merindui Puan Ayu, Nuruddin?”,tanya Tuan Jurangan.

“Ya, saya akan merindui masakannya”,jawab Nuruddin sambil tersenyum.
Tuan Jurangan tersenyum. Dia kemudian berkata,“Begitu juga aku Nuruddin. Begitu juga aku.”

1 comment:

  1. walaupun bab 1 lambat untk dikemaskini..agak menarik cite...penuh dgn pngembaraan...teruskn usaha...insyaallah mungkin stu hari nnti dpt mnghasilkan sebuah novel pengembaraan yg terbaikk..pendapat sy nama yg diletakkan pd watak2 yg ade agak pnjg n pelik sikit...n susah bg sy untk mngingati watak mne yg sedang ay bace nie...ape pon jalan cerita menarik dan menarik minat sy untk mmbaca nya..

    ReplyDelete