Labels

Saturday 16 February 2013

Projek Siri Kesatuan Mergastua & Bentara Pawaka


Salam kepada semua,

    Saya Hijau Muda mengumumkan projek terbaru saya Siri Kesatuan  Mergastua kepada semua.
Siri Mergastua mengisahkan tentang sebuah kepulauan yang dinamakan sebagai Kepulauan Mergastua. Ia berkaitan tentang seorang bekas laksamana yang cuba mencari Kepala Mergastua, iaitu warisan Jata Bapa Mergastua, Jata yang memerintah Kepulauan Mergastua dahulu sebelum hancur oleh kerana serangan luar dan perebutan kuasa di kalangan menteri dan panglimanya sendiri.
   Dan dengan itu juga saya umumkan novel pertama daripada Siri Mergastua, Bentara Pawaka. Dengan ini saya selitkan juga prebiu untuk Bentara Pawaka. Semoga anda nikmati prebiu ini.

Sekian, Wasalam.
....
Sudah berapa lama rasanya, sejak kali terakhir dia merasa nyaman angin petang bertiup, betapa sejuknya suasana pagi, betapa wanginya bunga yang berkembang mekar. Dari belakang jendela, kini  dia hanya mampu melihat ke luar dengan rasa cemburu. Terlantar di atas katilnya, dia sudah tidak mampu lagi berdiri apatah lagi hendak berjalan seperti dulu.Teringat pada benak fikiran lelaki tua itu kisah-kisah lamanya. Dia kini terpaksa bergantung kepada ehsan orang lain dan menghitung sisa-sisa waktu hidupnya.



Bunyi pintu dibuka kedengaran perlahan.Spontan lelaki itu melihat ke arah tersebut.  Kelibat seorang lelaki kelihatan dari belakang dedaun pintu. Lelaki tua itu terkilan. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa pemuda itu akan datang menziarahinya. Bahkan, dia sama sekali tidak menyangka bahawa pemuda itu tahu akan keberadaannya di situ.
Pemuda itu mendekati dirinya lalu menggenggam tangannya lalu berkata kepadanya dalam nada yang lembut,“Kita bersua kembali, ayah.”
Rintik-rintik air membasahi mata lelaki tua itu. Dia mengesat matanya. Hatinya begitu terharu. Entah kenapa panggilan ‘ayah’ itu begitu terkesan pada hatinya.
“Ayah,” panggil pemuda itu semula pada nada risau.
“Anak, maafkanlah orang tua ini, malah orang tua ini juga tiadalah layak dipanggil ayah. Lagipula, anak tidak sepatutnya ada di sini, bukankah Jata Utama lebih memerlukan anak.”
“Kita juga ada tugas di sini, juga tugas berkaitan dengan ayah juga. Maka itu kita ambil kesempatan ini, untuk berjumpa dengan ayah sekali lagi.”
“Perintah apakah itu, anak. Sehingga memerlukan bantuan si tua ini”
Pemuda itu tersenyum lalu membisikan sesuatu kepada lelaki itu.
Sekali lagi lelaki tua itu tersenyum. “Namun begitu, orang tua ini sudah lanjut usianya. Tidak banyak yang dapat dia lakukan.”Dia terhenti. Melepaskan batuk seketika kemudian menyambung kembali, “Tapi orang tua ini masih ingin melakukan satu perkara. Mahukah anak laksanakan bagi pihaknya?”
“Jangan berkata begitu, ayah pasti akan sembuh kelak. Permintaan itu biarlah ayah yang laksanakan kemudian.” Sinar mata pemuda itu menunjukkan tekadnya.
Lelaki tua itu tersenyum. Dia kemudian membalas kata-kata pemuda itu, “Namun hajatku ini tidak mampu aku tunaikan tanpa kehadiranmu.”Dia menanggalkan cincin pada jarinya lalu menyarungkannya pada jari pemuda itu. Dia kemudian membisikkan sesuatu pada telinga pemuda itu.
“Bagaimana? Bolehkah, anak?”
Pemuda itu tersenyum sebelum berkata, “Akan saya usahakan, ayah.”

No comments:

Post a Comment