Layanan Pertama:Perlayaran Bermula
Sudah berapa lama rasanya, sejak kali terakhir dia merasa nyaman
angin petang bertiup, betapa sejuknya suasana pagi, betapa wanginya bunga yang
berkembang mekar. Namun kini semua itu hanya sekadar kenangan. Dari belakang
jendela itu, dia hanya mampu melihat ke
luar dengan rasa cemburu. Terlantar di atas katilnya, dia sudah tidak mampu
lagi berdiri apatah lagi hendak berjalan seperti dulu. Dia kini terpaksa
bergantung kepada ehsan orang lain dan menghitung sisa-sisa waktu hidupnya.
Bunyi pintu diketuk memecah suasana sepi. Satu suara menyampaikan
tujuan ketukan itu.
Bunyi pintu dibuka kedengaran perlahan. Kelibat seorang lelaki
kelihatan dari belakang dedaun pintu. Lelaki tua itu terkilan. Dia sama sekali
tidak menyangka bahawa pemuda itu akan datang menziarahinya. Bahkan, dia sama
sekali tidak menyangka bahawa pemuda itu tahu akan keberadaannya di situ.
Pemuda itu mendekati dirinya lalu menggenggam tangannya d berkata
kepadanya dan dalam nada yang lembut,“Kita bersua kembali, ayah.”
Rintik-rintik air membasahi pipi lelaki tua itu. Dia mengesat
matanya. Hatinya begitu terharu. Entah kenapa panggilan ‘ayah’ itu begitu
terkesan pada hatinya.
“Ayah,” panggil pemuda itu semula pada nada risau.
“Anak, maafkanlah orang tua ini, malah orang tua ini juga tiadalah
layak dipanggil ayah. Lagipula, anak tidak sepatutnya ada di sini, bukankah
Jata Utama lebih memerlukan anak.”
“Kita juga ada tugas di sini, juga tugas berkaitan dengan ayah juga.
Maka itu kita ambil kesempatan ini, untuk berjumpa dengan ayah sekali lagi.”
“Perintah apakah itu, anak. Sehingga memerlukan bantuan si tua ini”
Pemuda itu tersenyum sambil berkata, “Ia suatu yang sulit. Akan
saya ceritakan kemudian.”
Lelaki tua itu tersenyum. “Baiklah, apa saja yang anak mahu akan
orang tua ini lakukan yang termampu.Namun begitu, orang tua ini sudah lanjut
usianya. Tidak banyak yang dapat dia lakukan.”Dia terhenti. Melepaskan batuk
seketika kemudian menyambung kembali, “Tapi orang tua ini masih ingin melakukan
satu perkara. Mahukah anak laksanakan bagi pihaknya?”
“Jangan berkata begitu, ayah pasti akan sembuh kelak. Katakanlah
saja apa permintaan, ayah”, Sinar mata pemuda itu menunjukkan tekadnya.
Lelaki tua itu tersenyum. Dia kemudian membalas kata-kata pemuda
itu, “Namun hajatku ini tidak mampu aku tunaikan tanpa kehadiranmu.”Dia
menanggalkan cincin pada jarinya lalu menyarungkannya pada jari pemuda itu
sambil membisikkan sesuatu padanya..
“Bagaimana? Bolehkah, anak?”
“Akan saya usahakan, ayah.”
.....
Pada suatu sudut yang lain, di kawasan yang jauh dari orang ramai
ada seorang lelaki yang mana usianya sudah mulai memakan wajahnya. Cuma saja
dirinya yang tedap dan tinggi itu sahaja masih belum ditarik dari kemampuannya.
Lelaki itu hanya berdiri di hadapan kawasan batu bata yang mengunung .
Mendiamkan diri tanpa mengucap sebarang perkataan. Membiar saja masa di
sekelilingnya berlalu, suasana di sekitarnya berubah. Seolah sedang memikirkan
suatu yang dalam, seolah rohnya keluar dari jasadnya.
“Tuan, Peniti Awan sudah siap untuk berlayar”,kata seorang pemuda.
Nafasnya yang tercungap itu ditahan seketika sebelum kembali mengambil nafasnya
semula.
Tersentak dari lamunannya, lelaki itu memandang ke arah pemuda itu
dengan perlahan lalu tersenyum. Dia kemudian mengusap janggutnya sebelum
berkata, “Jadi sudahkah kau bersedia, Nurudin? Untuk pelayaran pertamamu?”
“Ya, tuan. Saya sudah tidak sabar untuk memulakannya”,katanya
bersemangat.
Lelaki itu tersenyum sambil memulakan langkahnya. “Baiklah, jika
begitu mari kita ke Peniti Awan”.
“Baiklah, Tuan Jurangan”,kata Nuruddin sambil menyusuli lelaki itu.
“Tuan, bangunan apa yang pernah ada
di kawasan itu?”
“Kawasan? kawasan apa yang kau katakan, Nuruddin? ”
“Kawasan berbatu yang tuan lihat tadi”
“Oh, bagaimana kau tahu kawasan itu dahulunya sebuah bangunan?”
“Kerana kawasannya yang luas serta batunya yang banyak. Malah
bentuknya yang ganjil juga seolah memberi suatu kata-kata bahawa ‘Aku pernah
berdiri di sini’, tuan.”
Tuan Jurangan tersenyum lalu tertawa seketika. Dia kemudian
berkata, “Pemerhatianmu begitu tajam. Teruskanlah begitu dan tidak lama lagi
kamu akanku lantik sebagai jurangan bahteraku.”
“Haha, akan saya lakukan seperti yang tuan katakan.”
“Seperti yang kau katakan, Nuruddin. Dahulunya kawasan itu pernah
berdiri sebuah bangunan yang agam. Tempat itu pernah menjadi tumpuan segala
dagang dan manusia. Harta dan pengetahuan, menteri dan utusan, raja dan rakyat.”
“Bagaimana suatu yang begitu penting mampu menjadi sedemikian rupa?”
Tuan Jurangan terhenti. Dia terdiam seketika sebelum
berkata,“Nuruddin, ingatlah bahawa di dunia ini tiada yang abadi. Kau
sepatutnya lebih tahu dari orang lain tentang itu.”
Nuruddin terdiam seketika apabila mendengar kata-kata Tuan Jurangan
tersebut. Dia kemudiannya membalas, “Ya, Tuan Jurangan.”
“Baguslah jika kau mengerti. Tentang runtuhan itu pula biar saja
aku ceritakan pada kesempatan lainnya. Lihat kapalmu sudah menunggu untuk
berlepas.” Seraya itu juga Tuan Jurangan menudingkan jarinya kepada lancar di hadapannya.
Seketika itu juga semangat Nuruddin berubah. Tiba-tiba sahaja
perasaannya menjadi ceria. Dihadapannya kelihatan Peniti Awan, lancar kepunyaan
Tuan Jurangan. Badannya sederhana sahaja namun cukup untuk menampung sepuluh
lela dan dua puluh rentaka serta seangkatan awak-awak dan bekalan juga
dagangan.
Tiangnya pula tiga semuanya, menangkap tenaga angin untuk berlayar
di lautan lepas. Biarpun kecil namun Peniti Awan jauh lebih laju dan pantas
berbanding kapal lainnya. Malah kendaliannya jauh lebih mudah daripada bahtera.
“Nuruddin, apa kata kau
pergi periksa sekali lagi semua bekalan dan dagangan kita.”
“Baiklah, tuan”, kata Nuruddin sambil berlari ke arah Peniti Awan.
Setelah kelibat Nuruddin hilang di sebalik Peniti Awan itu, Tuan
Jurangan berpaling ke belakang menghadap suatu manusia.
“Aku sungguh tidak menyangka
akan kehadiranmu. Aku pasti bahawa kau tidak mahu berjumpa denganku”,kata Tuan
Jurangan.
...
Setibanya dia di ruang gudang tempat simpanan segala bekalan dan
dagang di carinya awak-awak yang bertugas lalu bertanya, “Bagaimana dengan
ruang gudang?”
“Semuanya siap, tuan muda”,kata seorang awak-awak.
“Baiklah, pergi berehat. Kita akan bertolak tidak lama nanti”,kata
Nuruddin melepaskan kumpulan awak-awaknya itu. Semuanya mengangguk sambil
berjalan keluar dari ruang gudang itu. Namun Nuruddin masih lagi di situ
menyemak kembali senarai barang bekalan dan dagangan di gudang itu. Namun
kemudian tumpuannya terganggu apabila seorang awak-awaknya datang memanggilnya.
“Tuan muda, ada seorang lelaki mahu menemui tuan di limbungan.”
“Oh, baiklah. Kamu teruskan pekerjaanku. Biar aku menemuinya”
Setelah keluar dari ruang gudang itu, Nuruddin terus ke limbungan
untuk menemui lelaki tersebut.
“Adakah saudara yang ingin menemui saya?”
“Ya, memang benar. Saya memerlukan bantuan tuan”
“Bantuan? Bantuan apa yang saudara perlukan?”
...
Di hadapan Tuan Jurangan berdiri seorang wanita pada usia senjanya.
Lebih kurang seumur dengan Tuan Jurangan namun jelitanya masih lagi terpancar
pada rupa paras wanita tersebut.
“Aku sama sekali tidak menyangka kehadiranmu di sini. Bukankah kau
masih lagi marah padaku?”
“Mana mungkin seorang isteri meninggalkan suaminya begitu sahaja,
lebih-lebih lagi apabila suami itu seorang yang tidak tahu akan batasan dirinya
dan maut dihadapannya. Itu pun juga kerana sifatnya yang sentiasa mahu menempah
maut di dalam kebodohan dirinya”,sindir wanita itu dengan tajam.
“Dan aku seorang suami yang paling bertuah di dunia ini kerana
mempunyai seorang isteri yang begitu bijak serta sentiasa mengambil berat akan
diriku, bukan begitu Ayu?”
“Mengapa kau berkata begitu? Apa fikiranmu sudah tidak waras?”
Tuan Jurangan hanya tersenyum. Puan Ayu pula masih mendiamkan diri.
Puan Ayu memulakan bicara, “Jurangan, kau bukannya muda seperti
dulu, bukankah Angkatan Sayap Emas mempunyai ramai hulubalang dan pendekar yang
handal. Siapa yang akan menjaga Pulau Sarang Buang? Siapa yang akan mengawal
Angkatanmu apabila ketiadaanmu? Apa yang harus aku lakukan apabila kau sudah
tiada nanti? ”
Ketika itu, suatu rasa hangat menyelimuti tubuh Puan Ayu. Ketika
itu juga air mata Puan Ayu membasahi bahu Tuan Jurangan. Puan Ayu berkata di
dalam pelukan Tuan Jurangan, “Mengapa kau masih begitu mementingkan diri serta keras
kepala? Mengapa kau masih begitu degil? Apakah kewujudan aku begitu menyeksa
dirimu sehingga kau mendambakan laut, Jurangan?”
“Bukan begitu Ayu. Kewujudanmu itu adalah suatu anugerah yang tidak
bernilai di sisiku. Kau adalah hadiah yang paling penting dari Tuhan untukku.
Mana mungkin aku terseksa malah jauh dari itu aku berasa sangat bahagia.”
“Jika begitu mengapa kau harus pergi sendiri bersama Nuruddin. Mengapa
kau tidak membawa bersama Awang dan yang lainnya? Dan mengapa kau tidak
benarkan aku mengikutmu?”
“Kerana mereka memerlukan kamu
di sini, isteriku. Awang akan menggantikan aku, ayahnya selaku Raja Laksamana
Angkatan Sayap Emas dan dia masih terlalu muda dan mentah untuk ditinggalkan
berseorangan dengan kuasa yang begitu besar tanpa panduan darimu. Oleh kerana
itu aku tinggalkan kamu bersamanya kerana aku yakin dengan dirimu dan
kebijaksanaanmu, Ayu.”
Dengan penuh kelembutan Tuan Jurangan meleraikan pelukannya itu.
Tangannya masih lagi memegang bahu Puan Ayu. “Dan Nuruddin pula, aku harus
bawanya untuk pelajaran yang seterusnya. Sebagai sampingan kepada amanat yang
aku bawa.”
Perlahan jari Tuan Jurangan mengusap air mata Puan Ayu. Dia
kemudian mengucup dahi isterinya itu. Dengan senyuman dia berkata, “Dan tentang
aku pula, janganlah kau khuatirkan. Akan aku kirimkan beritaku padamu pada
setiap pelabuhan yang aku singgah dan juga pada setiap purnama pada Tasik
Bayangan. ”
“Janji?”
“Janji.”
Seiring dengan tiupan angin, kain layar berkibar ditiup kencang menarik
tiang dan kapal ke hadapan menjauhi pelabuhan. Membawa kepada haluan yang
mereka tuju. Puan Ayu masih lagi kelihatan di pinggir limbungan itu sambil
melambaikann tangannya.
“Puan Ayu, kami pergi dahulu”,jerit Nuruddin sambil melambaikan
tangannya pada Puan Ayu.
“Adakah kau akan merindui Puan Ayu, Nuruddin?”,tanya Tuan Jurangan.
“Ya, saya akan merindui masakannya”,jawab Nuruddin sambil tersenyum.
Tuan Jurangan tersenyum. Dia kemudian berkata,“Begitu juga aku
Nuruddin. Begitu juga aku.”
walaupun bab 1 lambat untk dikemaskini..agak menarik cite...penuh dgn pngembaraan...teruskn usaha...insyaallah mungkin stu hari nnti dpt mnghasilkan sebuah novel pengembaraan yg terbaikk..pendapat sy nama yg diletakkan pd watak2 yg ade agak pnjg n pelik sikit...n susah bg sy untk mngingati watak mne yg sedang ay bace nie...ape pon jalan cerita menarik dan menarik minat sy untk mmbaca nya..
ReplyDelete