Salam kepada semua,
Saya Hijau Muda mengumumkan projek
terbaru saya Siri Kesatuan Mergastua
kepada semua.
Siri Mergastua mengisahkan tentang sebuah
kepulauan yang dinamakan sebagai Kepulauan Mergastua. Ia berkaitan tentang
seorang bekas laksamana yang cuba mencari Kepala Mergastua, iaitu warisan Jata
Bapa Mergastua, Jata yang memerintah Kepulauan Mergastua dahulu sebelum hancur
oleh kerana serangan luar dan perebutan kuasa di kalangan menteri dan
panglimanya sendiri.
Dan dengan itu juga saya umumkan novel
pertama daripada Siri Mergastua, Bentara Pawaka. Dengan ini saya selitkan juga
prebiu untuk Bentara Pawaka. Semoga anda nikmati prebiu ini.
Sekian, Wasalam.
....
Sudah berapa lama rasanya, sejak
kali terakhir dia merasa nyaman angin petang bertiup, betapa sejuknya suasana
pagi, betapa wanginya bunga yang berkembang mekar. Dari belakang jendela,
kini dia hanya mampu melihat ke luar
dengan rasa cemburu. Terlantar di atas katilnya, dia sudah tidak mampu lagi
berdiri apatah lagi hendak berjalan seperti dulu.Teringat pada benak fikiran
lelaki tua itu kisah-kisah lamanya. Dia kini terpaksa bergantung kepada ehsan
orang lain dan menghitung sisa-sisa waktu hidupnya.
Bunyi pintu dibuka kedengaran
perlahan.Spontan lelaki itu melihat ke arah tersebut. Kelibat seorang lelaki kelihatan dari
belakang dedaun pintu. Lelaki tua itu terkilan. Dia sama sekali tidak menyangka
bahawa pemuda itu akan datang menziarahinya. Bahkan, dia sama sekali tidak
menyangka bahawa pemuda itu tahu akan keberadaannya di situ.
Pemuda itu mendekati dirinya lalu
menggenggam tangannya lalu berkata kepadanya dalam nada yang lembut,“Kita
bersua kembali, ayah.”
Rintik-rintik air membasahi mata
lelaki tua itu. Dia mengesat matanya. Hatinya begitu terharu. Entah kenapa
panggilan ‘ayah’ itu begitu terkesan pada hatinya.
“Ayah,” panggil pemuda itu semula
pada nada risau.
“Anak, maafkanlah orang tua ini,
malah orang tua ini juga tiadalah layak dipanggil ayah. Lagipula, anak tidak
sepatutnya ada di sini, bukankah Jata Utama lebih memerlukan anak.”
“Kita juga ada tugas di sini,
juga tugas berkaitan dengan ayah juga. Maka itu kita ambil kesempatan ini,
untuk berjumpa dengan ayah sekali lagi.”
“Perintah apakah itu, anak.
Sehingga memerlukan bantuan si tua ini”
Pemuda itu tersenyum lalu
membisikan sesuatu kepada lelaki itu.
Sekali lagi lelaki tua itu
tersenyum. “Namun begitu, orang tua ini sudah lanjut usianya. Tidak banyak yang
dapat dia lakukan.”Dia terhenti. Melepaskan batuk seketika kemudian menyambung
kembali, “Tapi orang tua ini masih ingin melakukan satu perkara. Mahukah anak
laksanakan bagi pihaknya?”
“Jangan berkata begitu, ayah
pasti akan sembuh kelak. Permintaan itu biarlah ayah yang laksanakan kemudian.”
Sinar mata pemuda itu menunjukkan tekadnya.
Lelaki tua itu tersenyum. Dia
kemudian membalas kata-kata pemuda itu, “Namun hajatku ini tidak mampu aku
tunaikan tanpa kehadiranmu.”Dia menanggalkan cincin pada jarinya lalu
menyarungkannya pada jari pemuda itu. Dia kemudian membisikkan sesuatu pada
telinga pemuda itu.
“Bagaimana? Bolehkah, anak?”
Pemuda itu tersenyum sebelum
berkata, “Akan saya usahakan, ayah.”
No comments:
Post a Comment