PUSTAKA Oleh : Hijau Muda
Di dalam bilik yang terpencil itu
ada seorang tua. Menyelak kertas demi kertas, membaca buku demi buku. Mengisi
masa tuanya yang sepi di dalam pustaka kecilnya itu. Sebuah suara tiba memecah
kesunyian. Dia terkejut. Menoleh melihat sumber suara itu.
Kosong. Tiada satu pun kelibat
manusia. Bagaimana mungkin suara keluar tanpa sumbernya, fikir si tua itu.
Suara ketawa itu kedengaran lagi tapi kini lebih hampir dengannya. Dia memandang ke bawah.
Seorang bayi tersenyum
melihatnya. Mengeluarkan hilai ketawa yang comel bersamanya lalu merangkak ke
arah si tua itu. Si tua itu terkejut. Ekspresi terkejutnya diluahkan melalui
kata-kata berikut, “Apa yang budak sekecil kamu buat di sini?” Lelaki tua itu
lantas mengangkat bayi itu. Melihat seolah-olah bayi itu sesuatu yang asing.
Bayi itu hanya tersenyum dan
sesekali tertawa melihat gelagat lelaki tua itu. Si tua itu pula hanya terus
memerhati bayi perempuan itu. Dia kemudian berkata ,“Apa nama kamu, si kecil?”.
Bayi itu hanya tertawa seperti biasa. Mengeluarkan senyuman seindah bunga.
Orang tua itu turut tersenyum.
Sudah berapa lama dia tidak merasakan senyuman seseorang. Lebih-lebih lagi dari
seorang bayi. “Baiklah. Aku akan menemani kau di sini buat sementara waktu, si
kecil,”kata lelaki tua itu. Ruang yang selalunya sunyi dan muram kini menjadi
hangat dan ceria dengan kehadiran si kecil itu. Pustaka kecil itu bertambah
kembali pelawatnya.
Beberapa tahun Kemudian...
Lelaki tua itu masih lagi
menyelak kertas demi kertas, membaca buku demi buku. Masih lagi di dalam bilik
yang sama. Masih lagi di dalam pustaka yang sama. Suasana sunyi yang sama,
tiada yang berubah. Kalau ada itu
hanyalah bilangan kedutan di muka dan uban di rambut.
Buku yang sama dibaca dari
dulu cuma kali ini lebih berusia. Pandangannya tidak berubah. Masih pada buku
itu. Tanpa dia sedari, pandangan itu menjadi gelap secara tiba-tiba. Adakah
maut sudah memanggilnya atau anugerah matanya sudah di tarik darinya. Tiba-tiba
kedengaran satu suara. Suara yang amat dia rindu. Suara yang melembutkan
hatinya dan membasahi matanya.
“Cuba teka siapa ni?” kata
suara itu. Lelaki tua itu tersenyum. Mana mungkin dia dapat melupakan suara
itu. Suara yang sering menggegar sanubarinya.
“Agaknya siapa orang yang
menutupi mata atuk ini?”soalnya di dalam kepura-puraan. Tangan kecil yang
tadinya menutup penglihatan lelaki tua itu dibuka. Penglihatan lelaki tua itu
kembali cerah. Dia lalu menoleh ke belakangnya. Seorang budak perempuan berdiri
di hadapannya. Melemparkan senyuman manis padanya.
“Eh, si kecil sudah datang
rupanya,”canda lelaki tua itu. Muka yang tadinya manis berubah masam. Budak
perempuan itu ternyata tidak berpuas hati dengan kata-kata atuk itu.
“Atuk ni, selalu saja
panggil Sara si kecil. Sara sudah besarlah atuk,”rungutnya dengan muka yang
masih masam. Lelaki tua itu terhibur melihat gelagat cucu perempuannya itu. Dia
lalu memujuk cucunya itu dengan, “Maaflah, nanti atuk bawa Sara berjalan-jalan
di taman bunga itu nanti, nak?”
“Betul ni, atuk?”tanya Sara
kembali. Mukanya yang masam kembali ceria. Teruja dengan pelawaan datuknya
mungkin.
“Ya. Nanti atuk
bawakan,”balas lelaki tua itu kembali.
Ruangan pustaka itu
kembali riang dengan kehadiran Sara. Senyuman manis beserta sorakan gembiranya
memenuhi setiap sudut pustaka itu.
“Atuk, cepatlah
sikit,”kata Sara. Berdiri menanti datuknya.
“Cucu atuk memang
bersemangat,”balas lelaki tua itu, tersenyum sambil melihat cucunya
bermain-main di taman itu. Sara mengejar seekor
rama-rama yang baru saja di jumpa. Namun disebabkan keasyikannya Sara terjatuh.
Dia lalu menangis.
“Cucu atuk menangis, ya?”
katanya sambil ketawa.
“Atuk!!,”jerit Sara sambil
menangis. Dia kemudian mendapatkan datuknya.
Lelaki itu kemudiannya
mendukung Sara, cuba untuk menenteramkan cucu kesayangannya.
“Dah, kalau Sara berhenti menangis nanti atuk ceritakan pada Sara
sebuah cerita”,pujuk lelaki itu. Sara seolah-olah terpukau dengan tawaran
datuknya terus berhenti walaupun masih lagi ada esakkannya. Sara kemudian
membalas, “Cerita apa, tuk?”
Lelaki itu tersenyum. Dia
kemudian mula bercerita, “Sara kamu tahu, dulu di taman ini tinggalnya seorang
puteri yang jelita.”
“Puteri tu cantik tak,
atuk?”,tanya Sara.
“Mestilah, kalau tak
takkanlah atuk panggil puteri yang jelita, kan?”,balas lelaki itu kembali. Sara
mengangguk. Lelaki itu meneruskan ceritanya kembali.
“Sara sudah tertidur,
ayah”, kata seorang wanita. Lelaki separuh usia itu tersedar. Dia tidak tahu
bahawa cucu kecilnya itu sudah lama tertidur di pangkuannya mahupun jua dia tertidur
ketika bercerita pada cucunya itu.
“Ya, ayah pun tidak sedar
dia sudah tertidur”, balasnya ringkas. Perlahan dia mengangkat cucunya itu lalu
diberinya kepada anaknya. Seolah tidak mahu berpisah tangan Sara masih berpaut
kuat pada baju datuknya itu.
“Ah, tangannya masih
memegang bajuku. Sebentarnya, nak”, kata lelaki itu.
“Tidak mengapa ayah. Sara
memang selama ini rapat dengan ayah. Biarlah ayah menemani dia dahulu, esok
pagi saya akan datang mengambilnya”, kata wanita itu.
“Maaflah, nak. Walaupun
kamu dan suamimu sibuk dengan urusanmu
tapi kamu berdua tetap jua meluangkan masa untuk orang tua ini.”
“Bukan begitu ayah. Sara
yang begitu mendesak kami untuk berjumpa dengan ayah. Jika bukan kerana Sara
pasti kami pun lupa untuk mengunjungi ayah”,kata seorang lelaki yang juga
bapanya Sarah.
“Begitu, jadi selama ini
aku berhutang budi pada cucuku sendiri rupanya”,kata lelaki tua itu sambil
tersenyum. Dia membelai Sara dengan penuh kasih sayang.
“Namun sayang waktuku bersamanya tidak lama.
Tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini. Apa yang berlaku ketika itu
hanya Tuhan saja yang tahu.”
Wajah mereka di
sekelilingnya terus saja berubah. Hanya wajahnya serta Sara yang masih tertidur
itu saja yang tidak berubah. “Janganlah berkata begitu, ayah masih ada
harapan.”
Lelaki itu hanya
mendiamkan dirinya hanya senyuman saja yang terukir pada mukanya.
Beberapa bulan kemudian...
Lelaki tua itu kini
terlantar di dalam biliknya. Dia sudah terlalu lemah untuk bergerak. Hanya
menunggu saatnya saja. Dia sudah tiada kekesalan lagi Cuma hanya satu saja ynag
sentiasa dia fikirkan setiap masa. Dari luar sudah kedengaran bunyi bising.
Tiba-tiba pintu bilik lelaki tua itu dihempas. Kedengaran seseorang
berkata,”Atuk”.
Seorang budak perempuan
masuk ke dalam bilik itu. Dari matanya sudah bercucuran air-air jernih. Dia
segera mendapatkan lelaki tua itu.
“Eh, si kecil sudah
datang, ya?”kata lelaki tua itu sambil bangun dari tempat tidurnya. Menutup
perasaan sakit yang dia hadapi. Dia tahu cucunya itu sedang sedih. Dia cuba
meringankan kesedihan cucunya itu.
“Atuk jangan bergerak
dulu. Atuk kena banyak berehat baru boleh cepat sembuh. Lepas tu baru kita
boleh jalan-jalan di taman bunga itu lagi atau bersihkan pustaka lama atuk,
ya?”kata Sara. Dia cuba menghalang lelaki tua itu dari bangkit dari tempat
tidurnya.
Lelaki tua itu tersenyum.
Gembira apabila melihat cucunya itu masih lagi mengambil berat tentang dirinya.
Sama saja dengan arwah isterinya.
“Tak apalah, Sara. Ini
sudah masa atuk. Atuk sudah lama hidup. Jauh lebih lama dari kamu. Sekarang ini
atuk hanya mahu berehat saja,”kata lelaki tua itu.
“Tapi kalau atuk pergi
nanti siapa yang nak temankan Sara nanti? Sara nanti tak ada temanlah,”kata Sara.
Lelaki tua itu terdiam.
Dia menunjukkan senyumannya kepada Sara. Dia kemudian berkata, “Kamu tahu Sara,
sebelum kamu lahir, sebelum kamu datang ke dalam pustaka kecil atuk, sebelum
senyuman manis dan ketawa lucu kamu menyapa atuk, atuk pun keseorangan. Sejak
kematian nenek kamu, atuk kesunyian. Tiada teman berbual. Tiada kawan untuk
bergurau. Jadi atuk pun mengunci diri atuk di dalam pustaka itu.”
Sara terdiam mendengar
cerita lelaki tua itu. Matanya masih belum berhenti mengeluarkan air mata.
Mukanya masih menunjukkan perasaan risau dan sedih yang teramat sangat.
“Kemudian kamu muncul di
dalam hidup atuk. Cara kamu bercakap dan perangai kamu sama saja dengan arwah
nenek kamu. Luaran dan dalaman. Tidak ubah walau sedikit pun dengan nenek
kamu,”tambah lelaki tua itu lagi. Dia meletakkan tangannya di atas kepala Sara.
“Jadi janganlah kamu
bersedih lagi, Sara. Lambat laun kau pasti akan berjumpa dengan pengganti atuk
suatu hari nanti. Berjanjilah dengan atuk bila kamu sudah berjumpa dengan dia,
berkawanlah dengannya sebagaimana kau berkawan dengan atuk dulu, ya,”kata
lelaki tua itu lagi.
“Ya, Sara janji,”balasnya.
Air matanya kini lebih laju menuruni pipinya. Dia tahu riwayat lelaki tua itu
sedang menghampiri penghujungnya.
“Baguslah kalau begitu.
Atuk langsung tidak memempunyai sebarang kekesalan di dalam hidup atuk cuma
saja atuk tidak dapat melihat kamu membesar menjadi seorang gadis yang jelita
kelak, si kecil,”selepas kata-kata itu lelaki tua tersebut melafazkan dua
kalimah syahadah. Dia mengucapkan kata-kata tersebut dengan senyuman yang amat
manis. Semanis senyuman pertama dia dengan si kecilnya itu dahulu.
Beberapa Tahun Kemudian...
Pustaka itu masih lagi
dikunjungi. Bukunya masih lagi dibaca. Cuma pengunjungnya saja yang berbeza.
Kini yang duduk di atas kerusi itu ialah
seorang gadis yang jelita. Gadis jelita yang pernah dikatakan datuknya. Gadis
yang juga pernah dikenali sebagai si kecil sedang menghabiskan waktu lapangnya
di situ. Membaca berbanding berbual dengan teman sebayanya.
Seorang wanita memasuki
ruang pustaka itu. Dia seolah tergesa mengejar sesuatu. Dia lalu berkata, “Sara,
ibu terpaksa keluar dulu, nanti ada pelajar ibu datang tolong layan dia dulu,
ya?”. Kemudian dia bergegas pergi tanpa memberi peluang kepada Sara untuk
menjawab.
Sara sekadar melihat
sahaja susuk tubuh ibunya meninggalkan ruang itu. Dia kemudian menyambung
pembacaannya. Membaca sehingga terlupa akan waktu dan persekitarannya. Suatu
nostalgia lama tertimpa padanya kembali seolah memburunya dari masa silam.
Matanya tiba-tiba sahaja menjadi gelap. Adakah dia sudah buta, sudah tentu
tidak getus hatinya. Dia yakin kerana selepas itu suatu suara bertanya
kepadanya, “Cuba teka siapa ni?”.
“Sepatutnya kakak yang
tanya soalan itu”,balas Sara. Matanya kembali cerah. Dia lalu menoleh ke arah
sumber suara itu. Seorang budak kecil berdiri di hadapannya.
“Hmm, kakak siapa?”tanya
si kecil itu. Sara tersenyum.
“Kakak penjaga dan pemilik
pustaka ni. Adik pula sedang buat apa di sini?”balas Sara kembali.
“Saya tengah cari abang
saya. Kakak ada nampak tak abang saya? Tadi saya dengan abang tapi bila sampai dalam rumah ni abang terus
hilang”terang adik kecil itu. Dia kelihatan agak resah.
“Apa kata kakak temankan
adik sementara adik tunggu abang adik, nak?”, cadang Sara. Maisara kelihatan
agak gembira. Dia lalu mengeluarkan senyuman seindah bunga. Seindah senyumannya
juga. Sambil mengangguk kepalanya adik kecil itu juga berkata, “Baiklah,
kakak.”
Tiba-tiba kedengaran suara
tapak kaki berlari sambil memanggil sesuatu. Pada mulanya suara itu hanya
sayup-sayup sahaja. Sesayup bunyi daun ditiup angin, kemudian semakin lama
semakin jelas dan lalu akhirnya kedengaran suatu nama. Dari situ seorang lelaki
muncul sambil memanggil, “Sara!!.”
“Ya!!”, kedua-duanya, baik
kakak penjaga pustaka itu mahupun adik kecil itu, menjawab pada masa yang sama.
Kedua-duanya juga terkejut lalu melihat sesama sendiri. Si adik kecil itu
memecah kebuntuan, “Nama kakak Sara, ke?”
“Ya, adik pun sama?”
“Ya, nama adik Maisara
tapi panggil Sara sahaja.”
Kedua-duanya tersenyum.
Mengenang peristiwa yang berlaku meninggalkan lelaki itu dalam kekeliruan. “Saya
terlepas sesuatukah?”,tanya lelaki itu kebingungan.
“Taklah, abang baru saja
membuat suatu permulaan yang menarik”,jawab Maisara riang sambil menambah kekeliruan abangnya itu.
“Selamat berkenalan. Saya
Sara, kawan baru adik kamu”,sambung Sara spontan membuka kepada suatu kisah
yang persahabatan yang baru.
No comments:
Post a Comment